Obesiti di Kalangan Kanak-kanak

4439

Adakah masalah obesiti itu satu kebiasaan di kalangan kanak-kanak di Malaysia? Di Malaysia, obesiti dalam kalangan kanak-kanak di peringkat umur tujuh hingga 10 tahun meningkat daripada 6.6% kepada 13.6% berdasarkan Kajian Keutamaan Nutrisi di Malaysia.

Ini merupakan satu fenomena yang amat membimbangkan. Masalah ini pasti berlarutan sehinggalah mereka meningkat dewasa jika tiada langkah pencegahan yang dilakukan.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini dan kita akan mulakan kupasannya melalui peranan ibu bapa.

Ibu bapa kerap mengatakan yang anak yang memiliki pipi yang gebu dan tubuh yang gendut itu comel. Pipi mereka akan dicubit dan mereka akan dimanjakan oleh ibu bapa termasuklah dari masyarakat sekeliling.

“Penerimaan” masyarakat ini menjadikan ibu bapa menjadi selesa melihat ciri-ciri fizikal yang ada pada anak mereka. Pada usia kecil, kanak-kanak tidak akan malu dengan keadaan tubuh badan mereka kerana masih lagi dianggap comel. Tetapi apa pula yang berlaku setelah mereka meningkat dewasa?

Kanak-kanak yang menghadapi masalah obesiti memiliki rasa rendah diri yang tinggi apabila dia mula diejek apabila berada di bangku sekolah.

Apakah tindakan ibu bapa? Syukurlah jika ada ibu bapa yang prihatin apabila melihat keadaan anak yang perlu dikawal selia pemakanan.

Namun, bagi ibu bapa yang hanya memandang enteng akan perkara ini, apa pula kesan yang akan ditanggung oleh si anak? Anak yang tidak dipedulikan mungkin terpinggir dan tidak memiliki kawan-kawan yang ramai.

Kanak-kanak biasanya lincah dan selalu melakukan aktiviti lasak seperti bersukan. Anak anda yang bertubuh besar mungkin tidak akan menerima pelawaan rakannya untuk bermain bersama kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesusahan. Ini menjadikan anak anda lebih tertekan.

Oleh itu, anak-anak perlu dilatih untuk mengawal rutin makan yang tepat dan berdisiplin. Senaman ringan dan aktiviti riadah bersama keluarga juga membantu anak anda dalam mengawal kesihatannya.

Pengaruh teknologi mutakhir ini juga telah mengundang masalah obesiti yang keterlaluan. Mengehadkan masa bermain di meja komputer juga adalah langkah penting demi mengubah cara hidup anak anda.

Kesimpulannya, peranan ibu bapa adalah yang terpenting dalam menangani masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Ibu bapa yang memberi makan anak-anak wajar mengambil kira nutrisi yang diperlukan agar kesihatan mereka lebih terjamin.