Kepentingan Kemahiran Berfikir dalam Didikan Awal Kanak-kanak

2888

Allah SWT berkali-kali mengingatkan manusia supaya berfikir yang membawa maksud menggunakan akal atau otak dalam menyelesaikan pelbagai masalah dan kemusykilan. Oleh itu, kalau difikirkan tentang permulaan kejadian manusia di dalam kandungan ibu ialah otaknya atau kepalanya.

Cuba renung kebesaran Allah SWT, bagaimana Dia mencipta manusia bermula dengan pembentukan otak. Cuma yang peliknya, manusia mempunyai naluri ingin mengetahui jantina kandungan seseorang ibu melebihi keinginan memikirkan bagaimana hendak memelihara dan membina otak janin semasa dalam kandungan. Sebenarnya ada banyak rahsia pentingnya akal kepada manusia. Cuba kita lihat firman Allah SWT dalam Surah Al-Alaq (96: ayat 1- 2):

“Bacalah (wahai Muhamad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia mencipta manusia dari sebuku darah beku.”

Jelasnya, Allah SWT menuntut manusia supaya berilmu dengan membaca dan banyak menggunakan fikirannya. Darah beku yang terjadi pada permulaan kejadian manusia ialah otak atau kepala, bukan kaki atau tangan atau perut atau anggota lain.   Menjadi fitrah kelahiran bayi, normalnya akan menzahirkan kepalanya dahulu bukan anggota lain.

Oleh sebab itu, harus diingati bermula dengan ibu dan kemudian guru (bila kanak-kanak dihantar ke tadika dan bersekolah), otak yang digunakan untuk berfikir harus digilap. Sekiranya salah diasuh dan dididik menggunakan otak untuk berfikir, banyak kemusnahan akan dilakukan oleh manusia. Oleh itu, kepentingan kemahiran berfikir cukup penting dalam mendidik kanak-kanak sejak daripada dalam kandungan sehinggalah ia meningkat dewasa.

Ia bukan sahaja akan menjadi manusia yang pandai dan bijak yang kelak berjaya dalam keintelektualannya, tetapi juga akan sentiasa mengingati dan mendekati diri kepada Yang Maha Esa. Seterusnya emosinya sentiasa seimbang dan dapat hidup dengan tenang kerana pembentukan akhlak yang baik hasil daripada kekuatan minda yang sentiasa mengatasi keinginan nafsu yang tidak mengenal batasan.

Kesimpulannya, untuk menjamin keselamatan dan kebahagiaan seseorang insan dunia dan akhirat sebenarnya bermula daripada amalan berfikir. Kemahiran ini sebenarnya boleh menjamin kesejahteraan seseorang itu. Oleh itu selamatkan anak-anak kita dengan santapan berfikir yang terancang dengan cara memberi sebanyak mungkin kaedah dan aktiviti menggunakan akal mereka seawal dari dalam kandungan hingga mencecah umur 7 tahun. Kemudian mereka terus berfikir secara sihat bila memasuki alam praremaja dan remaja.