7 Manfaat Aktiviti Memasak Bersama Anak

8646

Sebagai ibu bapa yang bekerjaya, kehidupan harian kita memang dipenuhi dengan urusan pekerjaan. Bahkan, lebih banyak masa dihabiskan di pejabat berbanding di rumah. Hujung minggu sahajalah masa yang ada untuk diluangkan bersama anak. Malas mahu beraktiviti di luar? Usah bimbang. Banyak perkara yang boleh dilakukan bersama anak-anak di rumah yang menyeronokkan malah memberi pendidikan! Salah satu contoh aktiviti adalah memasak. Anda boleh mulakan dengan resipi yang menggunakan bahan-bahan yang mudah dan ringkas. Contohnya memasak kek batik atau cucur pisang. Saya jamin anak-anak mesti suka. Apa manfaatnya? Saya boleh beri 7 contoh di bawah.

1. Mengajar Kemahiran Matematik

Jangan ingat belajar Matematik hanya dengan membuat latihan di buku sahaja. Asas kemahiran Matematik boleh diterap dalam pelbagai cara terutamanya dalam aktiviti masakan. Cuba terapkan di fikiran kita yang Matematik boleh wujud dalam setiap aspek kehidupan seharian. Contohnya melihat jam, mengira sukatan bahan, memotong (tebal atau nipis) dan pelbagai lagi!

2. Strategi Pemakanan Yang Betul

Jangan buat-buat tak tahu, rakyat Malaysia adalah negara yang tertinggi menghadapi obesiti di Asia Tenggara. Sebuah tinjauan yang dibuat pada tahun 2015 mendapati 47.7 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai paras kolestrol yang tinggi. Jadi, melalui aktiviti masakan, anda boleh menerangkan tentang perkara-perkara asas seperti khasiat bagi setiap hidangan lantas mendidik anak-anak tentang hidangan yang sihat berkhasiat.

3. Mempelbagaikan Juadah Di Rumah

Kalau sudah ada jadual waktu aktiviti masakan yang diikuti dengan rapi, pasti setiap minggu anda boleh menyediakan pelbagai jenis makanan yang baharu. Mungkin minggu ini kita cuba makanan tradisional Malaysia, minggu depan kita masak makanan dari Timur Tengah. Entah-entah, cukup setahun hampir kesemua makanan tradisi negara-negara luar berada dalam tangan kita. Hebat kan?

4. Membentuk Ikatan Kekeluargaan Yang Kukuh

Tak susah pun untuk pastikan anak anda mengikut jadual aktiviti memasak yang anda buat. Beri saja pujian bagi setiap masakan yang mereka telah hasilkan. Jika masakan mereka kurang menjadi, jangan pula sengaja ketawa di hadapan mereka, sebaliknya terus beri kata galakan. Mereka pasti boleh buat!

5. Pendidikan Yang Menyeluruh

Falsafah dalam memasak samalah juga dengan usaha untuk berjaya. Mesti ada persediaan dari awal sampai akhir. Maksudnya, anak-anak akan tahu bahawa setiap hasil yang baik adalah kejayaan satu proses yang dijalankan dengan teliti. Mereka perlu tahu apa yang akan dicapai, bahan-bahan yang diperlukan, kaedah pelaksanaan yang betul dan peralatan yang diperlukan. Sebab itu anak anda akan memahami konsep ‘penghasilan’ dengan aktiviti memasak.

6. Melatih Anak-Anak Berdikari

Berdikari di sini bukanlah hanya setakat boleh lakukan aktiviti memasak itu sendirian. Sebaliknya, anak-anak boleh memilih bahan-bahan yang sepatutnya digunakan, contohnya tanpa pengawet atau perasa makanan (Monosodium Glutamate) yang tidak elok untuk kesihatan. Anak-anak yang berdikari boleh memilih makanan yang baik tanpa perlu diarah-arah lagi.

7. Memasak Adalah Satu Kemahiran

Satu perkara tentang memasak adalah ia boleh dijayakan sebagai kerjaya suatu hari nanti. Kemahiran memasak tidak boleh dinilai melalui sijil dan pengiktirafan semata-mata sebaliknya melalui deria rasa orang yang memakannya. Seorang tukang masak kecil ini membawa kemahiran yang boleh dibawa ke peringkat yang lebih tinggi. Asal saja mereka mempunyai minat yang mendalam dan anda menyediakan platform yang betul sedari awal.

Kesimpulannya, jangan hanya menganggap anak anda sebagai penyibuk jika mereka duduk di sebelah sewaktu anda sedang memasak. Jadi, mari kita ramai-ramai rajinkan diri di dapur dan siapkan jadual aktiviti bersama anak-anak. Pastinya, anda akan mendapati satu perubahan yang luar biasa dalam diri anak-anak dan juga diri anda!

Muhammad Zahid Bin Mohamad Zaki merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif, Aswara. Beliau pernah menerima anugerah Graduan Bitara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pelajar Terbaik Diploma Penulisan Kreatif Aswara (2014).